Berkayak di Thailand 2024 Trip



 TRIP NATURE THAI 18-22 FEBRUARI 2024

Trip luar biasa. Trip main hembus je sebab aku desperate nak keluar dan healing untuk bernafas. Setelah pertanyaan solo trip direject, aku cam hmmm dah sedih. Waktu tu aku dah senaraikan beberapa negara untuk solo seperti Singapura (ya tahu Singdollar dahsyat), Taiwan (negara yang tak pernah sampai) dan Thailand (dah pergi few times). Masa research jumpa pulak tempat menarik di Thailand tapi tema ecotourism la sebab saya perlu HEALING. Tanpa disangka, Haq sudi layankan aku. Maka terjadilah Trip bawa suami dan anak-anak (Haq, bukan aku) aka Trip gigih.

Terimalah sedikit catatan dan pemerhatian buat kenang-kenangan. Next trip entah bila. Doakan aku masih ada rezeki panjang umur dan panjang langkah.

Terima kasih Haq kerana settlekan almost everything for the trip. Dari rough itinerary, search and book hotel kat booking.com, contact resort, belikan tiket flight dan offer tukarkan duit Baht.

Aku? Takde function sangat. Hidup aku kan kurang jelas sekarang, semangat pun takde, floating ajer. Benarlah adulting gonna suck the life out of you. So I’m hoping I feel better after the trip.

Mula

Aku sampai sehari awal ke Sepang, stay satu malam dirumah Ika. Boleh saja aku gerak pagi dari Muar tapi nanti anak buah tak puas hati tak sempat main. 16hb Februari naik bas dari Muar ke TBS. Sekarang booking guna Easybook, Redbus atau BusOnline je. Maleh den nak pergi busstand awal semata nak beli tiket.

Kat TBS singgah Guardian beli Vitamin C soluble ( tak suka soluble tapi more practical dari bawak sebotol pil) dan spray nyamuk.  Nak masuk hutan kan, so kena be prepared belilah keperluan kat Guardian ke Watson ke.

Then TBS ke Salak Tinggi menggunakan ERL ( guna debit kad untuk discount 10%, simpan boarding elok-elok kalau terhilang macam aku dulu, hamek kena denda). Satu malam berehat. 17hb menjaga anak buah.

Hari Pertama

18/2/2024 , flight kami petang, so after Zohor aku tiba di KLIA2 dihantar oleh Ika dan keluarga thanks! Haq sudah sampai dan sedang check-in satu bag. Aku bergegas ke kaunter CIMB Bank untuk pickup duit baht.

Masa Haq offer untuk tukarkan MYR ke Baht minggu lepas, aku tak cukup cash. Maklumlah duit bukan banyak pun nak dikorek.So kenalah aku fikir cara macam mana nak dapat Baht lepas duit dah ada (pinjam duit ASB, cara nak keluarkan tengok sini xx).

Duit yang ada berada dalam akaun Wise tapi dalam matawang USD (sis buat side hustle Amazon), saya nak keluarkan tapi dah memang itu duit gue, guna sajalah..apa masalahnya (bak kata Aja). So option yang ada  untuk dapat duit baht adalah ;

  1. Cucuk Wise di ATM Thai & keluarlah duit Baht
  2. Beli baht currency dalam Wise account & swipe di Thailand
  3. Send duit USD to Malaysia account bank & tukar baht di Malaysia
  4. Guna duit USD direct tukar Baht di Malaysia ( tak tahu boleh ke idok, so we ignore this option)

Aku dok research apa cas dan pro cons each option. Kalau yang tak kenal, aku ni memang orang meniaga tapi kalau nombor tu lebih 3 digit, aku dah blur dan malas nak tekan-tekan kalkulator, guna kalkulator pun salah kira kadang. Namun ku gagahkan jua untuk memahami. So here are the consideration untuk each option.

Option 1, akan dikenakan banyak cas iaitu 1-exchange rate ( ni okay rate Wise sebab ikut Google) 2-conversion fee ( makin tinggi nilai nak convert, makin tinggi fee)  3-ATM withdrawal fee ( ini bukan Wise buat tapi cas pada ATM di Thai iaitu flat rate 220 Baht sekali cucuk)

Option 2, tak semua tempat kat Thai terima card samada swipe atau cucuk. Resort yang kami nak pergi memang mintak cash. Nak tak nak memang kena ada cash juga.

So obviously I go with option 3. Tetaplah kena cas 1- exchange rate dan 2- conversion fee tapi serious berdesup je duit tu masuk account bank Malaysia aku. Pastikan nama samalah ye dari account Wise dan account penerima tu. Jadi dengan cash di account bank, barulah aku kena fikir pulak kat mana nak tukar baht. Takkan nak tukar kat kampung, confirm rate tak competitive dan kadang diorang takde duitnya, kena preorder dulu.

Kembalilah aku ke kancah group BBM untuk mencari penyelesaian. Barulah kutemui CIMB Currency Exchange counter kat KLIA. Selama ni dok lalu je tengok rate tapi tak pernah tukar sebab biasa tukar kat money changer Masjid India atau IOI, Midvalley etc itu yang pandang sebelah mata je. Rupanya tukar currency kat bank rate dia ok gak.

Yang menariknya, kita boleh beli currency dengan price hari itu dan kutip matawang itu bila-bila masa di beberapa lokasi. Boleh baca info lebih jelas disini https://www.cimb.com.my/en/personal/help-support/faq/cimb-travelcurrency/cimb-travelcurrency.html

Katanya boleh beli guna CIMBClicks Apps tapi entah kenapa aku tak jumpa. Maklumlah jarang guna apps sotong, aku pakai web browser sini 

Aku beli 10,000+5,000 Baht ( untuk Haq) dengan rate xx. Ok gaklah sebab Haq dapat rate xx kat IOI. Ala, kitonyo beli sikit je tak rasa sangat beza berapa sent u.

Tak semua currency dia ada jual dalam CIMB tu. Langkah membeli mudah saja;

  • Login website https://www.cimbclicks.com.my/clicks
  • Pergi bahagian Invest, skrol sampai bawah ada Travel Currency
  • Pilih currency, masukkan nilai yang kita nak
  • Buat bayaran (tolak duit dalam CIMB)
  • Pilih hari nak pick up duit & lokasi ( Paling lambat beli 4pm hari sebelumnya, ada beberapa pilihan lokasi untuk confirmation contact dulu Person-in-charge tentang waktu operasi kaunter)

Untuk pickup KLIA2, PIC yang aku whatsapp kata kaunter buka 24hours, siap bagi lokasi dengan gambar. Sambung cerita kat KLIA2 tadi untuk step pickup duit tukaran wang asing.

  • Pergi ke Level 2 Arrival, dekat dengan Gate 3 (sebelah Gate 2) berhampiran 7E.
  • Bagitau nama, nanti dia cek sampul kita ada tak.
  • Kasi IC, dia scan jari dan double confirm currency dan berapa yang kita tukar. So kenalah ingat ya. Aku dapat 2 sampul sebab beli 2 hari berbeza dengan rate sedikit berbeza. Sebenarnya sebab baru dapat duit dan nak tambah baht takut tak cukup walaupun aku dasar tak reti shopping.
  • Tengok dia kira duit cukup kat mesin & you are done!

Kemudian kami terus masuk dalam untuk urusan boarding walaupun lama lagi. Ko kena faham, dah lama gila tak naik flight, pastu Sejarah kitorang dulu selalu dapat gate terpaling hujung and kena berlari walaupun belum final call. Ini bawak anak-anak lagilah kena masuk awal.

Ah lupa, dengan anak-anak boleh lalu kaunter dengan akak imigrisen nah. Aku guna autogate dengan lajunya. Nak cari makan kat dalam dah payah sebab kita kan taknak sokong israhell, tapi nak buat camno, kira darurat lah. Airasia Flight retime sekali tapi tak jatuh hukum 2 jam, so tak dapatlah claim travel takaful. Airasia jelah ada direct flight Hatyai, Malaysia Airlines takde (acehh macam mampu naik MAS)

Ini kira kali ketiga ke kedua?? kami ke Hatyai. Kali pertama adalah trip berenam pada tahun 2015. Nak nangis sis tengok photobook trip hampir 10 tahun lepas. Nak dekat sedekad, patutlah Haq kata banyak tempat yang kitorang pernah pergi dulu dah takde.

Haq and family beli seat duduk sama-sama. Aku duduk seat belakang sikit tapi alhamdulliah pergi dan balik dapat window seat hehe. Anak Haq menjuarai larian ke toilet as soon as Belt sign Off hahaha. 1 jam perjalanan dan kami sampai ke Hatyai International Airport.

Sekali lagi family with kids dapat lalu kaunter special sementara sis beratur dengan rakyat marhaein lain. Lepas kaunter cop terus jumpa bag, terus keluar arrival. Diorang dah dapat kerusi dan dalam cubaan menukar simkad. Kami beli simkad dalam Shopee je, tapi sengal betul lupa time tu CNY, so ngam-ngam simkad aku sampai kat rumah pagi sebelum aku naik bas ke Sepang.

Katanya kalau nak murah boleh beli simkad kat 7E murah je. Dalam airport ada simkad tapi mahal sikit, so kita ambil option Tengah yang afdol iaitu beli kat Malaysia. Ada banyak pilihan, so pilih yang sesuai. Ambil unlimited baru syok dan kalau jalan sama-sama sentiasa boleh hotspot je. Tapi haritu Haq ambil yang 5 days, last day masa kat airport tu dia dah tak boleh guna internet. So maybe boleh ambil hari lebih sikit contohnya 7 days ke takut anything happen takde lost contact.

Boleh beli simkad di Shopee or Klook ( insert sim bila sampai Thailand). Roaming pun boleh kalau berbaloi dan line available. Telco line semenjak bergabung ni semua tenggelam timbul di Malaysia, geram aku. Satu lagi info aku baru tahu, kat daerah panas Thailand macam Narathiwat, Pattani sana katanya simkad negara lain tak dapat line, Kerajaan sana blok. Makanya kena masuk gak simkad dia.

Ha kat Klook pun boleh search aktiviti nak buat apa dan beli tiket

Sambung, selesai masukkan simkad, ambil gambar dengan signboard Arrival, aku terus bukak Grab dan book ride ke Hotel. Satu best kat sini aku perasan adalah Grab senang dapat. Kat Malaysia sekarang kadang nak mengamuk tunggu Grab accept. Tak lama dalam 3 minit, ngam tunggu luar Grab pun sampai, driver Wanita.

Kat luar dengar jugak taxi driver offer boleh hantar ke hotel. Baru terfikir eh kenapa tak survey dulu, lepas tu bandingkan rate mana lagi murah. Tapi memandangkan dah gelap dan bawak budak-budak, kita memerlukan penyelesaian yang cergas. Dari Malaysia aku dah masukkan card detail dalam Grab untuk buat payment, so dia deduct terus. Kang kasi cash not besar susah nak kasi baki pulak kan.

Sesampainya kami ke hotel S.C. Heritage terus check-in. Signage depan kaunter kata check-in untuk booking sampai 11.30pm saja, aku macam ehh biar ar kan kita dah bayar kenapa tak boleh masuk pulak?? Tapi sebagai pengusaha rumah penginapan aku berkata ehh, my hotel my rules la (maybe takde orang after 11.30pm kot untuk urusan check-in).

Kami dapat bilik Tingkat 6 paling atas, letak bag dan keluar balik untuk dinner. Review pasal hotel ni kalau gigih aku buat separate post ya. Tengok Google Map dalam 8-10 minute walking distance, tadehal kalau bujang tapi kita gamble je la ya dengan first time keluar malam tempat baru dengan stroller anak.

Sekali kena lintas roundabout la wei haha. Oklah ada laluan pejalan kaki, the power of hand ada tapi tengok la jugak kiri kanan, ni bukan kat Mekah kot jalan je kereta yang stop. Berpeluh wei nak sampai, Nampak dah kedai Halal tapi konon nak gak sampai ke destinasi kedai yang dituju depan sikit. Jalan depan eh takde pun signboard kedai  tu walaupun distance dalam 2 minit kedepan sikit. Aku dah penat berpeluh ni, ada kedai halal dan aku decide masuk jelah.

Of course orang kedai panik sekejap nak cakap malay. Alah cakap je ayam itik, aku translate lah nanti relax. End up kami order nasi khomok ( mengenangkan nasi khomok tepi jalan sedap 10 tahun lepas dengan Abang Min) dan nasi goreng apantah laki Haq amek. Air teh ais.

Verdict hampeh tapi tengok orang keliling makan sedap beriya dengan orang pickup delivery lagi. Bila bayar dia total semua, tapi Haq tanya harga satu-satu menu so dia macam berubah muka sikit. Relaks ar, kami amalkan sorang bayar semua lepastu kira hutang, so kenalah tahu harga makanan satu-satu.

Perjalanan balik diteruskan, barulah Nampak tepi ni pasar basah. Ikut pengalaman kat tempat lotus daerah terpencil Thailand mana tu yang kami sampai waktu malam dan menjajo cari hotel jauh amat perjalanan berjalan dalam hujan. Sekali esok pagi bila lalu jalan sama, eh dekat je kami yang berpusing-pusing sebab tak familiar jalan. Biasalah tak semua benda nampak dalam gelap malam.

Kami susur roundabout belah kiri untuk lintas jalan. Masa ni lalu tepi jalan besar roundabout. Haq berjalan didepan, aku belakang sekali. Mata masing-masing melilau as usual. Pandangan kami dua tertancap pada bangunan besar sebelah kiri kami. Besar tapi gelap dan nampak buruk takde orang. Terlintas dihati, bangunan apa ni? Dalam cubaan membaca nama pada bangunan, kaki kanan aku melangkah turun dari walking pavement ke jalan tar. Kaki kiri turun dah Opss! Terasa tumit terhentak dan terpelecok. Ya Tuhan sakitnya kaki sampai hilang suara.

Hujung baru ada suara panggil Haq! Barulah diorang Nampak aku dah terduduk atas jalan tak boleh bangun. Aku cuba bangun dan gelap rasa nak pitam. Cubaan kali kedua baru boleh berdiri. Menahan sakit dengan kaki tak boleh pijak lantai. Kami tunggu tepi jalan untuk melintas dan sekali lagi aku rasa nak pitam. Steady sekejap tepi jalan barulah kami melintas.

Dalam kalut tu ternampak sinar kekuningan dari jauh. Itu diaaa 7Eleven yang sentiasa ada Dimana-mana. Kami terus masuk ke 7E, aku mencari bandage. Mula-mula tak jumpa puas berpusing, last-last ada je depan mata kat bahagian handyplast. Haq suggest beli ice untuk tuam. Termenung aku depan mesin air choco dan teh ais 7E yang pekat dan sedap itu. Camno nak pegang nanti, maka aku beli air batu je (bak kata adik cashier), bandage dan ubat gigi halal ( punya penakut ubat gigi 120g tak lepas handcarry kutinggalkan).

Perjalanan balik yang agak perlahan tapi kami selamat sampai ke hotel. Aku menghabiskan malam itu dengan tuam ice pada kaki melayan tv dan solat atas kerusi. There is no way for me to stand on that foot.

Bising pulak tuv ni, nak turunkan volume tv dan remote buat hal sampai aku mesej Haq mintak bantuan. Entah tv ke remote takde bateri ke, ingat nak pinjam remote. Last-last aku cabut je plug dia nak tido. Oh ya, kat sini nyamuk dia besar-besar so ironically guna spray repellant nyamuk kat hotel dan bukannya kat resort tepi Sungai.

End of day 1

Hari Kedua

Malam tadi tak berapa nak tidur sangat dan know-know dah subuh. Ambil wuduk dan tengok kaki bengkak tak surut mana dan sakit wei, terasa seperti floor is lava. Lepas solat Subuh kat kerusi, golek-golek search pasal hospital area sini. Dalam BBM cuma ada 1 post pasal hospital Hatyai.

Masa ni terpikir kalau retak ke kena simen ke redha je la wei. Aku ambil Etiqa takaful 360 pakej Gold ( ni yang intermediate) dan add-on Extreme sports sebab konon nak main kayak. Kalau ikut bacaan, nanti dia tolak RM100 dari payment kalau claim Berjaya sebab apa ntah. Korang baca lah details dia. Tapi poin aku adalah, kena ada Travel Takaful walaupun kena bayar dulu & claim kemudian dan juga kena ada cash extra for emergency or card untuk diswipe. Kad kena ada isi lah noh.

Boleh beli travel takaful kat sini https://www.etiqa.com.my/v2/travel-insurance-takaful/tripcare-360-takaful

Aku punya bill tak mahal mana, tapi aku buat claim jugaklah for the purpose of learning walaupun dah balik seminggu dari Thailand. Claim online dengan isi form sini https://www.etiqa.com.my/v2/claims/travel Ada update nanti aku story sini.

Pagi tu mesej Haq cakap kita kena tukar plan, aku kena pergi hospital dulu. So pagi tu aku dah siap kemas bag, tinggal kat bilik Haq dan checkout terus sebab takut urusan di hospital lama (pengalaman di hospital Malaysia) dan terlebih waktu checkout. Kami naik Grab (dapat kereta BDY Atto comel je) ambil masa 5-7 minit perjalanan. Agak banyak kenderaan sebab waktu pagi masuk kerja dan sekolah.

Sekolah ni menang pertandingan suka apantah kat Johor Bharu, siap buat banner sebesar alam depan sekolah. Oklah sebab kira competition international kan? Sabar jelah tengok budak sekolah beli makanan tepi jalan sebelum loceng bunyi, best noh street food dia.

Grab drop dipintu emergency Hospital hatyai. Terkejut gak la mula-mula sebab mak ai ramainya orang, tak tahu mana mula dengan berbaris stretcher tersusun diluar. Ada emergency case ke? Fikir aku yang terpengaruh dengan cerita Anatomy Grey.

Plan aku adalah Haq & family pergi breakfast disekitar Hospital sebab dalam map nampak beberapa gerai halal berdekatan. Sementara aku pula pergi settle urusan kakiku ini. Aku bertanya pada attendance lelaki berbaju putih yang berdiri ditepi meja. Terus dia tunjuk ke kaunter yang ramai orang beratur.

Kaunter ini dibahagian kaki lima bangunan. Ada 2 meja disebelah kanan dengan dua orang nurse Wanita, aku beratur disini dalam celah orang Thailand lain. Sambil itu mata memerhati beberapa kaunter sebelah luar ini dengan tiang drip, orang dapatkan bacaan tekanan dan lain-lain dari beberapa orang nurse yang berdiri melayan pesakit.

Sampai giliran aku didepan nurse. Aku terus cakap “Im Malaysia. I sprained my leg.” Kena declare dulu Malaysia, kang diorang balun cakap Siam aku terkebil tak faham. Takut ada yang salah faham ingat kita orang local sebab kat Hatyai ni ramai je orang Muslim bertudung. Tapi rasanya diorang pun tak fikir aku orang local dengan muka awam begini. Haq lain, orang ingat dia Pattani mari nasib baik tak dibawa jumpa calon mak mertua kat Aonang dulu hahaha

Nurse ni bila tahu aku orang Malaysia terus ambil phone. Aku ingat nak panggil orang lain, rupanya dia buka Google Translate. Maka bercakaplah kami di telefon itu. Dia tanya kaki mana sakit lalu menulis sesuatu di kertas.

Kertas biru bertanda tick pada entah apa dengan tulisan Siam dan perkataan Golf cart. Arahan diberi, katanya go inside straight. Aku okay..okay..kan saja walaupun blur. Nurse tu thank you berkali-kali sambil tangan khun khab sebab aku faham dan dia boleh buat kerja seterusnya. Shout out untuk nurse kaunter depan ni sebab ada inisiatif guna Google. Mereka berdua memang laju buat kerja kat depan tu. Aku rasa tugas mereka adalah buat pendaftaran guna IC/ Semak appointment dan arahkan mereka ke kaunter/ bahagian yang betul.

Selesai beratur, aku bagitau Haq aku kena masuk dalam, korang keluarlah dulu breakfast. Aku menaiki tangga untuk masuk ke dalam bangunan. Disebelah kanan penuh orang dikerusi didepan kaunter bertulis Pharmacy, disebelah kiri ada lift ke Tingkat atas juga penuh orang dikerusi duduk.  Terus masuk ke dalam, kiri kanan ada nurse di 4-6 buah meja melayani pesakit.

Berjalan terus ke dalam dan dalam lagi. Aku tak nampak signage yang berkaitan dengan aku. Style aku bila tak tahu jalan adalah “jalan straight jee” so straight I go, ikut je flow orang depan yang berjalan laju. Sampai satu tempat tu ada guard, aku tunjuk kertas dan dia berbahasa Thai sambil tunjuk-tunjuk kebelakang. Waktu ini aku sudah berjalan dekat 5 minit dengan kaki sebelah diheret haha

Bangunan ni agak moden sikit berbanding bangunan depan emergency tadi. Nampak ada nurse dengan topi putih baju kaler lain tunggu lift, aku tunjuk kertas dan dia bagitau straight and wait there. Aku cam blur. Lalu diminta aku ikut dia. Kami jalan lagi straight habis bangunan ke pintu belakang. Ha…barulah aku nampak apa yang dia tulis Golf cart tu.

Memang golf cart warna putih tapi jenis Panjang sikit boleh isi 6-8 orang tu; buggy ae orang panggil? Nurse cakap dengan driver depan apantah dan aku disuruh duduk. Cart pun bergerak dengan beberapa orang lain bersama aku. Kami dibawa ke bangunan lain tidak jauh dari sini tapi kalau berjalan kaki 5 minit gak. Kami diturunkan didepan bangunan yang tertulis General Practice Clinic.

Nampak orang beratur dan aku follow je beratur. Ada kerusi menunggu yang ramai orang tapi tak penuh sangat. Soorang staff perempuan bersuara untuk mengaturkan orang yang datang dan menjawab soalan. Aku keluar barisan dan hulurkan kertas sambil mengucapkan kalimat “ Im Malaysia”. Bahasa Inggeris patah pun patah asalkan info sampai. Dia kata “ok ok” dan aku diarahkan terus beratur.

Line ni rupanya untuk beratur ambil nombor tapi bukan dengan orang sebaliknya mesin. Mesin tu macam mesin ATM, mereka cucuk IC, masukkan nom tel dan pilih perlu ke klinik apa pergigigan ke, maternity ke dll. Ada seorang staf lelaki membantu tekan-tekan skrin lagi-lagi untuk orang tua yang tak faham sangat.

Sampai giliran aku, Staf perempuan tadi dah maklumkan pada staff lelaki tepi mesin ni. Dia masukkan nom telefon 0000000 je dan tekan button apa ntah, pastu dapat nombor.. Dia tunjuk belah tepi, aku pergi jelah. Ingatkan kena tunggu sana, rupanya kat tepi tu ada alat ukur ketinggian dan blood pressure sendiri. Alatan nampak lama tapi function. Dah ambil dua ukuran tu duduk kat kerusi sekejap tengok nombor kat skrin. Bila nombor naik barulah kita bergerak ke klinik/ department berkaitan . Ini semua diruang luar bangunan tau.

Aku ambil bacaan blood pressure, manakala untuk bacaan tinggi dan berat badan tu terblur dan lupa nak ambil. Staf lelaki tadi datang kat aku bila nampak aku termanggu berdiri  lepas ambil bacaan blood pressure. Nombor aku dah naik kat screen tapi bukan aku faham pun, lalu dia bawa aku ke dalam. Bangunan ni baru dan bersih. Kaunter depan ni  Kaunter  Pertanyaan kot, sebelah kiri Klinik maternity kot, ada kerusi menunggu. Aku duduk sambil staf mengisikan maklumat aku dalam computer lepas mintak passport (urusan  medical report department).

Lepastu aku dibawa kebahagian dalam sikit dan diserahkan kepada nurse Perempuan. Senior nurse kot sebab nampak busy aja dengan ucapan “Malay..Malay”. Nurse ni style lain sikit, dia kepit je tangan aku dan suruh aku letak slip kat kaunter. Dia sebut “Malay” lagi pada nurse satu lagi, tapi kena tepis aka halau pi nurse lain.

Redha la aku pi kaunter nurse sebelah sambil dia cakap Siam aja dengan aku walaupun aku berbahasa Inggeris. Left leg, hurt, sprain,swollen. Ok,ok dia taip kat computer. Height, weight dia tulis pada kertas mintak aku isi sebab aku tak serahkan kertas tu, Cuma kertas blood pressure je aku bagi. Kita tulislah berat dan tinggi 3 tahun lepas muahaha..main agak je.

 “Doktor..malay..malay” kata mereka sesama sendiri. Mungkin nak cari doctor yang boleh berbahasa Inggeris atau Malay la kot. Nurse tadi kepit lagi tangan aku, cari seat kosong dan suruh aku duduk situ.

Kat ruang menunggu ni ramai orang tapi steady je sebab tempat duduk selesa, aircond rasa dan tak rasa sempit. Tak lama, nurse kepit mai lagi “Malay..malay” dan aku dibawa ke bilik consultation belakang meja nurse tadi. Seorang doctor lelaki bertanya keadaan dan melihat keadaan kaki aku. Dia bertanya dalam Bahasa Inggeris macam mana boleh jadi, ada sakit kat mana, kerja atau melancong dan jika ada allergy pada any ubat.

Dia kata aku kena plantar fasciitis dan disarankan kurangkan berjalan berdiri, rest sebab ada inflammation. Nanti dia bagi ubat drug makan dan ada ubat untuk malam punya. Aku confirmkan tak perlu xray or anything ke sebab that left leg dulu pernah patah dan plate besi tu masih ada dalam. Dia kata tak perlu kena rest je.

Thanks doc dan nurse kepit jemput aku keluar dan duduk kerusi tadi lepas drop slip kat kaunter farmasi sebelah ni. Bila nama aku naik di skrin kaunter tepi, aku pergi untuk buat bayaran di kaunter Payment. Orang depan ni dikenakan bayaran 50baht. Aku dah prepare  mental berapalah aku kena sat lagi.

Staff perempuan muda bijak dia tulis je berapa baht aku kena bayar instead of cakap haha. 200 Baht, lalu aku bayar guna not 1000 yang banyak itu. Gigih dia nak pulangkan balik baki, tapi untunglah aku dapat note 100 dan 20 yang banyak hehe.

Pergi kaunter Farmasi dan 4 bag ubat dikeluarkan. Nurse kena gigih nak terangkan satu-satu ni kena makan 3kali, ni 2kali, ni kena makan malam saja. Thank you..thank you dan berlalulah budak Malay ini keluar hospital.

Haq dan famili dan siap makan dan mereka menunggu dibahagian depan hospital yang kami masuk tadi. Dia nak pergi kearah aku tapi aku fikir nanti diorang tak tahu jalan, dengan budak kecik stroller lagi. Maka dengan kegigihan akulah yang pergi ke arah mereka sebab aku perasan jalan ni masa dalam Grab tadi. Kalau ikut Google Map 2 minit sampai, tapi biasalah kenderaan berat menyeret kaki lambat sikit sampainya huhu.

Jumpa diorang dan aku bercerita la pengalaman tadi. Alhamdulliah settle dalam 1 jam, kami nak balik hotel bersiap untuk checkout. Kali ni balik dengan tuktuk semata-mata demi pengalaman anak-anak tak pernah naik tuktuk. Cas mahai ya, sebab tuktuk kan kira perhead bukan macam Grab satu kereta Baht 76 tadi. Kali ni 50 baht seorang, so total Baht 150.

Perjalanan take time sebab dia lalu sebelah pasar basah, tunggu belakang lori yang loading barang. “Makan angin” la sekejap dalam tuktuk lalu terlihatlah bangunan yang kami dok tengok semalam sampai terseliuh kaki. Terang benderang je bangunan tu warna kuning wei, ada je urusan orang keluar masuk..muahaha buat hal la aku kena tepuk semalam.

Sampai ke hotel, aku merempat kat bilik diorang sebab aku dah check out awal tapi bag kat sini. Dah check out, search Grab untuk ke stesen bas tapi tak jumpa nama yang dicari dalam Grab. Tunjuk kat orang kaunter hotel dan diconfirmkan stesen Talad Kaset Van Station tu sama dengan Hatyai Bus Terminal 2.

Sampai je sana angkut turunkan bag dan Haq terus tanya kaunter tiket bas ke Thung Wa. Resort yang kami nak pergi ni di wilayah Satun tapi dalam daerah Thung Wa. The closest point yang orang resort boleh pickup adalah 7Eleven Palm 1 ke apa, so theres where we going. Nama tempat ni pun payah nak paham dan cakap sebab kitonyo sebut One macam omputeh hahaha

Dalam percakapan ayam-itik, aku membantu memahamkan 2 belah pihak. Bayaran tiket adalah untuk 4 orang sebab dia kata bag banyak. Difahami sebab dulu masa overland pun macam tu. Kalau orang putih lagilah dia dah kira sorang plus bag lagi, so tiket kira untuk 2 orang. Tapi tiket yang ada ni bergerak 12.45, trip awal dah terlepas. Kena sidai sejam gak kat sini. Aku as usual sejak berusia ni cari kerusi dulu, mengangkut segala beg ke tempat menunggu.

Tak sarapan dari pagi, perut dah lapar. Alhamdulliah penjual makanan sini Muslim so dapatlah makan sosej goreng, nescafe tin kecik comel je, beli mineral gak buat makan ubat hospital tadi. Nasi berlauk pun ada dengan rebung masak kari ke masak lemak dengan lauk lain. Aku bantai je cakap Melayu kat orang kedai untuk confirmkan tunggu van/bas pickup kat sini.

Nasib baik harini tak banyak sangat berjalan dengan bag, payah bila nak turun tangga je lah kaki ni. Kat stesen ni ada toilet dan musolla selain 2 kedai jajan dan akak nasi & sosej tu. Ada water dispenser air sejuk, kita topup air dan buat tuam kaki.

Concern juga orang kat sini bila van Satun mai dia teriak, tapi sorang lagi member dia kata bukan-bukan, van satu lagi. Biasalah bila dah masuk van, orang baru nak susun bag dengan beg tarik besor tu makan ruang. Maka driver mintak lagi 100 baht sebab dia kata makan ruang. Sebelum tu lagi dah kelangit van dah barang penuh kat belakang tu.

Masa kat stesen ni nampak ada 2 pilihan je kenderaan iaitu mini bas dan van. Ingatkan boleh pilih tapi tidak. Dari Hatyai ke sana memang kena naik van. Dah redha dengan ntah apa-apa je barang orang bawak dan kena sumbat tapi Alhamdulliah tak ramai pun dalam van.

Pengalaman overland dulu, orang local dia sumbat sampai kena duduk kat kerusi plastic kecik tengah van sebab nak penuhkan orang, selagi tak penuh orang van tak jalan, dan orang bawak dan kirim barang macam-macam dari kampung ke bandar seperti seguni sayur dll.

Tapi kali ini tenang saja.  Satu orang diseat belakang sebelah bag & muatan. Satu orang seat single sebelah kiri, seorang dua seat depan Haq. Maybe kat seat depan dengan driver ada sorang kot. Seat tak full pun, aku dapat guna 2 seat. Lepas makan ubat aku memang tidur je sampailah dekat 15 minit nak sampai Haq kejut. Sorry gais kalau aku berdengkur, tak sedar apa dah aku hahaha. Tapi ruginya Haq kata sebab tak tengok aksi extreme pemandu van setiap kali drop off barang.

Kaedah van luar bandar kat Laos, Thailand, Vietnam adalah orang passkan barang pada driver. Dia akan drop off barang kat tempatnya dan drop off orang semestinya. Bila dia lalu kawasan drop off dia akan bunyikan hon tut..tut..petanda dah sampai. Kalau ada barang drop off, dia akan ambil dari belakang (Kat seat penumpang atau bonet) dan letak kat tempat tu secepat mungkin. Gedang gedungla pintu van tu dibukaknya.

Ada sekali tu Haq kata dia boleh berhenti tengah jalan dan tinggalkan barang atas divider je hahah rugi aku tak nampak. Pemanduan diorang memang berdesup, so kalau yang tak tahan boleh telan pil mabuk jalan dulu.

Also pergi selesaikan segala urusan toilet dan jangan minum air banyak sangat. Ini berdasarkan pengalaman Haq kena pi ketuk pintu rumah orang random Tengah hutan bila bas breakdown dan aku tahan berak separuh nyawa dalam night van ke Vang Vieng dari sempadan Thailand.

Sampailah kami ke 7Eeleven yang dikatakan itu dan 2 orang penumpang lagi pun turun sama. Confuse jap diorang kena halau ke atau sini memang drop off point (memang last stop sini dekat simpang empat jalan Langu-Thung Wa). Driver pun zass terus bukak baju kerja driver putih dia, kemas-kemas barang dan berlalu. Menurut Haq yang sentiasa contact orang resort yang akan jemput tu dalam 10 minit sampai.

Tengah Haq menyoping dalam 7E elok van resort pun sampai. Sebenarnya ni 4 wheels (4WD) tapi dah dimodify bahagian belakang untuk jadi macam tuk-tuk. Beranginlah kami semua dalam 30 minit perjalanan ke resort.

Sampai saja di Engthan Resort kami disambut dengan akak yang boleh bercakap Melayu sikit-sikit dan berurusan dengan Haq guna fb messenger semata. Diorang tak ambil duit masa check in tapi masa check out. Haq dan famili dapat bilik, dan aku pula dapat tent sebab untuk 1 atau 2 orang memang duk sini katanya. Rare betul sebab tent ni style macam gampling gitu dan view depan terus Sungai. Melayan bunyi Binatang dan bunyi Sungai bestnyaa.

Kalau ikut plan sepatutnya haritu dapat lunch dan buat satu aktiviti dah, tapi kami sampai sudah kelewatan. Tapi alhamdulliah ada satu lagi slot petang tu untuk aktiviti kayak. Kena berkumpul depan resort lagi 15 minit  je wei. Gigih la jugak terus drop bag, guling-guling sekejap dan tukar baju untuk aktiviti air.

Benda kena tukar adalah pakaian aktiviti air (tudung, baju,seluar), waterproof handphone holder, duit takyah bawak, kunci letak kaunter depan. Kami tunggu satu group famili lagi untuk aktiviti hari ini, orang Malaysia juga. Naik 4WD dan tak jauh dalam 5 minit sampai ke point mula berkayak. First thing first, amek gambar dulu dengan photographer dia. Kita diberi pilihan nak kayak sendiri atau ada helper.

Haq pegang anak sorang & ada helper, suami dan anak sorang lagi kayak sendiri. Famili satu lagi tu laki bini baby satu kayak sendiri dan anak 3 orang lagi pakai helper. Dah helper 2 orang je, aku pun maleh nak berkayak, helper tinggal sorang acaner tu?

Mereka guna teknologi canggih untuk menggabungkan kayak aku dengan kayak budak-budak tu menggunakan sebatang ranting kayu untuk mengikat tali antara kayak. Helper tu duduk kat kayak depan, maka aku bersantai sorang dalam kayak belakang.

Layan Sungai dia best, ada beberapa tempat air dia deras dan berbatu sikit tapi ok je rasanya kayak sendiri. Helper dia sorang akan kat depan dan sorang kat belakang, kalau kita tertinggal atau kayak bergerak ke arah tak selamat nanti dia teriak dan bagitau “kak!” atau “Abe!” sambil buat tangan kearah kanan, kiri, elak batu, cara guna paddle etc.

Sampai satu tempat tu kami berhenti dan parking kayak. Boleh mandi manda sekejap kat sini. Layan wei kayak dibawa arus Sungai, sesekali terdengar bunyi kenderaan sebab Sungai lalu Kawasan jalan raya, terdengar bunyi Binatang, cengkerik, monyet, lalu depan resort orang Tengah mandi-manda,bbq. Aku sempoi boleh berbaring terlentang tengok langit dan daun-daun hutan, terapung atas air..Healing arrrrrgh love it! Nak nangis tengok kechillan video momen ni.

Katanya jarak dalam 3km lebih dari starting point sampai habis. Kalau slot pagi mungkin boleh lama sikit kot, kami slot petang dah nak gelap masa tu. Sampai je kat resort dah siap print gambar dalam frame lagi. Photograper dia ambil gambar masa awal-awal tu dan tengah berkayak masa awal pun ada. 120 baht per pic. Ko beli nanti pun takpe sebab tak bawak duit kan, nanti kat tempat makan dan nak balik dia susun lagi gambar tu.

Sampai tu akak resort terus bagitau nak makan pukul berapa 6 ke 6.30pm? Sebab dia makan berhidang gituu. Kami masuk bilik masing-masing, tukar baju, sidai baju, dan mandi. Oh yang duduk tent tiada toilet dan bilik mandi dan tv ya. Kita pakai common bathroom, ada 2 yang aku nampak satu betul-betul bawah tempat makan, satu lagi hujung sikit.

Review toilet dan bilik mandi, yang jauh sikit tu lagi selesa dan bersih. Tapi sebab dia open air side tepi so kadang-kadang ada Binatang melawat semasa urusan muahaha. Ok je sebab dalam setiap bilik air ada bidet, bilik mandi ada heater shower, shampoo and shower foam.

Makanan dia halal dan puas hati makan. Mesti ada fruit platter, ulam sepinggan, nasi, kadang tomyam ikan, ikan goreng, ayam sup dll. Lepas makan kami beransur berehat di bilik masing-masing. Golek-golek, videocall Ika dan anak buah, solat. Oh untuk orang yang tinggi kalau solat kat dalam tent ni boleh jejak kepala ya. Malam itu tidur awal selepas seharian punya perjalanan.

End of Day 2

Hari Ketiga

Hari ketiga dimulakan dengan buffet breakfast yang best. Nasi goreng ada, Mee bersup ada, bubur ada, toast, fruit salad, tuna salad, dan semestinya desert seperti jelly, waffle, pancake pun ada. Uish kenyang makan tapi silap den sepinggan makanan manis dulu itu yang tak berapa isi heavy-heavy. Cuma kopi kena buat sendiri, serbuk semua dah ada. Tapi as usual la tak berapa kick kalau buat sendiri. Kalau nak order air lain boleh je kitchen/bar dia sediakan nanti bayar.

Aktiviti hari ni adalah caving dan waterfall. Trip kali ni agak ramai dengan satu family besar Chinese Malaysia. Memerlukan 2 kenderaan, tapi dengan kelebihan bawak anak kecil, kami dapat duduk dalam 4WD yang ada seat dan bertutup. Sebabnya perjalanan ke Phu Pha Phet Cave agak jauh berbanding waterfall dan kami decide nak caving dulu pagi ni. Untuk aktiviti masuk gua, kena bawak torchlight sendiri.

Sampai ke tempat caving, barulah kami sedar bahawa kena hiking. Route dia okay je tak mencanak sangat dan ada laluan simen dan tempat berpegang. Tapi kami rasa kena scam sebab tak diberitahu muahaha. Gigih Haq bawak anak 5 tahun dia hike sendiri dan baby didokong, oh pengorbanan seorang ibu. Aku pun berkorban gak sebab tapak kaki baru elok, terus kena hiking. Oh ya, harini alhamdulliah tumit dah boleh jejak lantai, side tepi tu je masih bengkak sikit tapi boleh muat kasut dah. Pagi tadi pun dah telan berbiji ubat doctor.

Selain stamina yang tak pernah ada, kaki yang baru nak elok, melilaulah mata aku cari kayu buat tongkat. Dah la jalan yang belakang sekali, rupanya pakcik belakang tu guide caving kami dan dia kasi pinjam tongkat dia tengok ap acari ranting tak jumpa. Sampai gak ke pintu depan gua dan guide bagi kami berehat sekejap Tarik nafas.

Pintu masuk gua adalah Lubang yang ditebuk guna kapak oleh sami masa mula-mula dulu tu agak sempit untuk keluar masuk tapi other than that laluan semua ok dan kering, berjalan je takde merangkak basah ke apa ke. Dalam gua tu gelap kena hati-hati menapak atas laluan kayu dia. Pokcik tu boleh cakap Melayu slang Siam, jadi kalau ada tourist Malaysia memang dia la kena handle. Guide tanya gak nak lalu jauh ke dekat, kami pilih yang dekat of course so dalam satu jam gitu selesailah caving dan turun semula.

Teringat lak guide cerita pasal sami duduk dalam gua lepastu dia tunjuk batu tu 3 love dia kata. Sami keluar gua sebab dah jumpa love. Dia buat lawak apa ntah tapi aku boleh pickup pulak  lawak itu dan  gelak muahaha. Anyway, dalam gua tu best gak kisah dia, batu-batu cantik ada bentuk kubah, Mary, Buddha, ada bentuk naga, berkilat macam diamond. Perjalanan nak turun dari cave ke bawah tu ikut speed masing-masing. Kami duluan yang turun mencari air dan aiskrim di kaki bukit. Gambar siap print dijual seperti biasa.

Balik resort dan tunggu waktu makan tengahari pulak. Lepas lunch nanti ke waterfall pula. Resort ni ada pakej 2hari 1 malam dan 3 hari 2 malam, pada aku 3 hari 2malam yang berbaloi kalau tak tak hilang penat sampai sini. Group Cina Malaysia tadi semua datang by kenderaan sendiri, kat parking area resort ni penuh kereta dengan nombor plate Malaysia je. Yang kami jumpa group local Thailand cuma satu group saja.

Jalan menuju ke resort ni aku tengok boleh tahan corner dan turun naik, layanlah pakai motor dan kereta. Setiap kali jumpa orang Malaysia mesti diorang tanya kenapa tak datang sini (Satun & Hatyai ) pakai kereta je. Ni level lain kak, kami tak pernah try lagi.

Petang tu layan air terjun Namtok Wong Sai Thong. Orang resort drop off dan akan pickup dalam 4pm nanti. Kat sini batu dia tak  bahaya, batu tak licin sangat, batu tak tajam bulat-bulat senang nak memanjat ke atas. Aku tak berapa nak confident dengan keadaan fizikal tapi paling laju memanjat, naik la sampai level 2 je pastu turun balik.

Ok lah sini tak boleh compare dengan Laos punya waterfall la tapi. Sini ada few locals siap bawak makanan boleh piknik kat bawah lepas main air. Kami paling awal keluar dari air dan melepak kat tempat parking keringkan baju. Ternampaklah harga tiket masuk untuk foreigner, keras ya harganya dewasa 400 baht dan kanak-kanak 200 baht

Pickup ambil balik petang tu dan kami ready untuk makan malam terakhir. Masa pagi breakfast dah ditanya nak makan nasi macam semalam atau nak BBQ? Of course nak BBQ, eh layan konyang aku makan 3 cucuk bbq, sedap ya lagi-lagi kau takyah bereffort mengipas berasap  know-know makanan dihidang.

Malam itu berehat golek-golek lepas solat. Terlelap dan terbangun sekejap dalam 10pm sebab orang berborak dekat belakang tent aku. Malas betul nak bukak mata. Sekali 1am terbangun tak tahan nak buang air kecik. Berfikir panjanglah aku nak pergi menapak ke toilet pagi buta macam ni. Dah la depan tent ni semua pokok tinggi-tinggi, siang bersahut-sahut bunyi Binatang.

Ditahan-tahan 5 minit, eh tak boleh jadik ni. Tawakal dan ayat kursi sambil jalan tunduk bawah, takut mata terpandang mana-mana macam haritu, kat atas pokok ke apa ke. Laju aku jalan pastu baru nampak ada 2 orang dok borak kat depan bilik sambil minum-minum. Ahhh ada manusia, baru lega dan berani nak sampai ke toilet tu.

Selesai urusan, jalan laju Masuk tent dan terus lelapkan mata.

End of Day 3.

Hari Keempat

Day 4 kami sarapan dulu dengan tenang. Nampak beberapa guest baru yang sampai. Harini baru perasan ada signage free hot tea upon request. So dapatlah teh panas sedap dengan susu pekat separuh, baru sedap tekak sebab harini buat kopi sendiri mesin pemanas air tak berapa panas, maka terapung-apung creamer dalam cawan kopiku.

Haq settlekan bayaran pakej dan sekali kos ambil dan hantar kami ke 7Eleven. Tak tahulah mahal ke murah, pada kami berbaloi takyah pikir transport. Yang ni aku tak sure resort memang sediakan atau kami yang request dan diorang provide, so communicate je dengan fb diorang. Sebuah fortuner hantar kami ke tempat menunggu bas berdepan 7E haritu.

Hampir kami nak naik van pakcik berdesup haritu, rupanya staff yang drop off kami guna fortuner tadi tunggu kami sampai naik bas yang sepatutnya lalu menyelamatkan kami dari kesilapan. Dalam 30 minit macam tu ada bas dan kami naik dengan bag beso masing-masing. Sampai satu check point gitu, datang driver lain yang boleh cakap Melayu English sikit untuk comfirmkan kami nak turun kat stesen Hatyai nanti.

Kalau sebut nanti bunyi tak sama, tunjuk Google Map pun diorang cam ya tak ya, aku tunjuk gambar stesen yang kitorang naik haritu dan dia kata ok correct..okay..okay. Kat sini system dia bila bus berhenti, ko naik je dulu. Nanti sampai certain tempat, driver stop dan naik bas tanya nak pergi mana dan barulah ko bayar duit tiket. Kali ni alhamdulliah takde yang bawa barang aneh atau barang-barang overload.

Sampailah kami ke stesen bas haritu semula. As usual buka Grab ke hotel. Kami masuk hotel yang sama haritu, senang tak payah fikir. Sampai hotel dan belum masa checkin, maka idok ler dapat masuk. Kami tinggal je bag kat situ dan keluar sekali lagi mencari lunch. Jalan kaki kali kedua ikut Google Map dan sekali lagi tempat nak makan tak buka lagi. Tak taulah teori aku kedai makan-makan tomyam atau panas ni bukak waktu malam je macam kat Malaysia.

Maka kita lajakkan ke depan sikit ke restoran Malaysia-Thai. Sepertimana dalam Google review begitulah terjadi, ambil order tak clear, masa menunggu lama (padahal kami je semeja yang ada), makanan biasa je Malaysia lagi sedap, dan harga keras. Tapi aku Syukur kami tak pergi malam sebab lagi tak berbaloi sebab kena menunggu ramai orang katanya.

Jalan kaki balik dan checkin hotel. Rehat jap dan kami keluar semula untuk pergi melawat gajah. Tapi tengok jarak dengan Grab dan waktu closing, pada aku tak cukup time sebab akan sampai kat sana almost 4pm. So kita tukar plan iaitu ke Lee Garden walaupun laki Haq dah dress up untuk jumpa elephant.

Naik Grab dan sampai sana melalui Kimyong market. Aku lupa Lee Garden ni 1-2 tingkat je dan takde apa sangat kat dalam ni melainkan ko nak pergi Watson atau Mcd. Ngam waktu tu orang baru bukak kedai-kedai kat luar. Rasanya ini tujuan orang kesini kot. Kami pun sempat la beli tshirt sehelai dua. Kat luar ni ada makanan halal, dan boleh jalan kedepan sikit untuk beli dari kedai-kedai lain.

Next panggil Grab lagi, kali ini dapat Isuzu D-Max (rare ok 4WD jadi Grab ride) untuk ke Asian Night Bazaar. Kat sini lagi banyak pilihan untuk beli souvenior. Murah ke tak aku tak tahulah nak banding dengan apa sebab aku bukan kaki shopping. Lagipun rate MYR-Baht dah tak cun macam dulu, so layanlah.

Dalam 6 lebih kami naik Tingkat atas untuk makan-makan. Banyak pilihan makanan halal sini. Nice buat tempat makan belah atas macam ni, kenapalah Pasar Payang tak buat gini kan senang nak shopping and eating.

Selesai, kami keluar dari Kawasan situ mencari 7Eleven untuk shopping, Kat sini baru aku perasan staff 7E buatkan on the spot kalau ko order air dari café dia. Wangi je bau air teh ais dia, tapi aku tak belilah sebab full perut lagipun jap lagi nak naik Grab. Kat sini baru nampak rider 7E yang hantar delivery, mantap noh 7E dia.

Grab balik ke hotel ni dapat orang Islam ke Melayu ntah sebab nama Melayu tapi dia takde ajak borak ke apa so diam je layan lagu jiwang kapak Ukays dia pasang. Malam itu berkemas sikit sebelum tidur. Extra info, kalau ko sorang boleh try Grab ride dengan motor, laju, affordable tapi pakai helmet nama Tawakal sebab jarang dia bagi helmet untuk penumpang berdasarkan pengalaman aku Grab moto di Bangkok dulu.

End of Day 4.

Hari Kelima

Hari terakhir disini, kami keluar awal pagi dan naik grab ke kedai Dimsum Chabura. Sekali lagi kedai ni overate je rasanya. Sini pun rezeki datang awal, so tak ramai lah orang makan. Dari sini kami naik Grab ke Chang Puak Camp untuk tengok gajah iaitu plan semalam. Jauh gak perjalanan kesini naik D-Max lagi sekali.

Kat sini masuk takde entry fee tapi untuk buat aktiviti macam naik gajah, bagi gajah makan, crocodile and monkey show semua cas lain-lain. Kalau ambil pakej semua aktiviti tu total 1,000 Baht (keras pada aku). Aku tak minat naik gajah, so aku tolong tangkap video Haq dan anak-anak naik gajah. Tak lama lepas kami sampai berbas-bas budak sekolah datang dengan mak ayah, begitu juga pelancong dari Malaysia.

Bila dah ramai orang, kami mula bergerak keluar. Aku bukak Grab dan takde pun driver yang berdekatan. Banyak kali kena cancel booking sebab takde yang accept. Ah sudah, macam mana nak balik ni wei? Dah la jauh ke bandar. Baru perasan semua yang datang ni naik tuktuk yang dah dibook untuk pergi dan balik. Masing-masing ada sticker pada badan mungkin nombor plat kenderaan yang diorang masuk tadi.

Tanya orang kaunter dia kata kalau takde Grab dia tanya kawan dia kalau boleh hantar kitorang. Dalam masa yang sama dia kata cuba guna Maxim. Aku baru download apps Bolt tapi aku try download apps Maxim pulak. Terus try book dan ada driver accept, tengok masa dia kata 7 minit sampai, tapi tengok dalam map jauh wei kereta dia. Tunggu punya tunggu bukak chat, driver tanya boleh tunggu tak? Dia dah separuh perjalanan jauh.

Kami confirmkan dengan brother tadi, dia kata kawan dia tak boleh tolong, maka aku reply driver kami tunggu dia. Inilah first time dapat kereta agak buruklah berbanding Grab dengan kereta sedap, baru dan bersih. Ini macam naik kereta pakcik pickup budak sekolah pergi sogame petang. Namun kami bersyukur ada juga orang sudi pickup dan hantar ke hotel.

Kami kena checkout on time dan harini nak fly back kot. Bayangkan kalau kami stuck kat Tengah hutan tu huhuhu. Lepak hotel sambil mengemas. Aku figure out boleh tengok Youtube kat tv instead of channel movie & Netflix yang aku takde account tu. Layan BangtanTV la wei, benda yang boleh buat aku tersenyum dan Bahagia. Dalam 11.30am housekeeping dia ketuk pintu bilik untuk checkout.

Checkout dan kami ada last itineari iaitu makan tengahari. Sampai kat kedai Kai Tod Decha terus masuk dengan beg beso Tengah kedai. Rupanya nak masuk kena tunggu turn dan dibagi table. Tapi time kami masuk tu takde orang kat depan (ke kami je tak perasan?) lalu kami duduk je kat meja bulat yang takde orang tu. Budak order dengan menu cepat je datang dan ambil order.

Dari menu kelihatan harga dia keras gak, lebih kurang kat Malaysia la kalau ambil set 8-10 orang tu, seribu lebih baht tak silap itu nampak berbaloi. Disebabkan aku dikecewakan dengan tomyam kedai before ni, aku order lagi tomyam kat sini untuk challenge tomyam Engthan walaupun harga keras 169 baht untuk tomyam campur Sahaja. Mencucuk gak tomyam dia bolehlah.

Time kami makan tu orang nak makan dah kena beratur tersidai diluar kedai tunggu turn meja clear dan dipanggil. Dan untuk kesekian kalinya aku perasan kami bernasib baik timing selalu ngam-ngam sebelum ramai orang. Pakcik pakai mic yang kemas meja dan panggil nombor pun cakap kedai dia memang penuh orang Malaysia je. Mantap ar.

Habis makan, dan panggil Grab ke airport. Perjalanan smooth tak jauh sangat. Kat pintu masuk airport bahagaian Departure tu terus kena scan bag. Aku terlupa betapa keciknya airport Hatyai ni. Tak jauh adalah kaunter check-in luggage. Boarding kat Tingkat atas, dan kami terus naik atas . Kat sini kena scan bag carry on lagi (aku kena scan 2x) dan first time scanner pakai benda yang 360 pusing macam kamera tu. Tiber, eh dah sampai boarding gate.

Ruang menunggu kat dalam ni tak besar pun dan Cuma ada 2 kedai dutyfree dan 1 mesin air. Bolehlah habiskan duit kat mesin ni atau beli guna kad/ QR pay macam TNGo. Entah kenapa aku tak terasa nak beli air ni, dah tua ni kurang pulak rasa excited dan curious aku. Aku cam terperasan Amazon café kat bawah tadi, tapi dah termasuk kat boarding gate tak boleh keluar balik pulak. Amazon tu sampai la ni dah few times pi Thai belum ada rezeki lagi nak try.

Flight on time dan berlepas lah kami pulang ke Malaysia tercinta.

End of Thai trip. Terima kasih diucapkan kepada Haq yang banyak susun plan dan family Haq yang sporting kasi aku join trip sekali.  Disertakan beberapa tips and tricks dibawah.

Semoga Panjang umur dan Panjang langkah untuk next trip yang entah tahun bila.

Kos Transportation

 

From & To

Metered Fare (Baht)

Foreign Payment Fee (3%)

Total (Baht)

Car

22/2/2024

Kai Tod Decha Hat Yai – Hat Yai Internationaional Airport ( 13km)

207

6

213

Grab (Honda HRV) 

 

SC Heritage Hotel - Kai Tod Decha Hat Yai

71

2

73

Grab

 

Chang Puak Camp Hat Yai - SC Heritage Hotel

 

 

151 (cash)

Maxim (Honda City)

 

Dimsum Chabura- Chang Puak Camp Hat Yai (13 km)

164

5

169

Grab

 

SC Heritage Hotel - Dimsum Chabura (2km)

74

2

76

Grab

21/2/24

7-Eleven Soi Chotevittayakul 5 - SC Heritage Hotel (3km)

90

3

93

Grab

 

Lee Gardens Plaza – Asean Night Bazaar (2km)

99

3

102

Grab

 

SC Heritage Hotel - Lee Gardens Plaza (1 km)

72

2

74

Grab

 

Hat Yai Bus Terminal 2 - SC Heritage Hotel (3km)

86

3

89

Grab (Nissan Kicks)

 

Bus to Hat Yai Bus Terminal 2

 

 

390(3 person)

Mini Bus

 

7Eleven- Engthan

 

 

150

4WD

19/2/24

SC Heritage Hotel - Hat Yai Bus Terminal 2 (5km)

96

3

99

Grab

 

Hatyai Hospital -  SC Heritage Hotel

 

 

150(3 person)

Tuk-tuk

 

SC Heritage Hotel - Hatyai Hospital (1km)

74

2

76

Grab (BYD Atto)

 

 

Hat Yai International Airport - SC Heritage Hotel (14 km)

212

6

218

Grab

Random Observation

- Shophouses
Kebanyakan rumah adalah shophouse bermakna bawah adalah ruang kedai, atas tempat tinggal. Walaupun rumah jenis melekat ( rumah teres/ berkembar binaan) tetap bahagian bawah dibuat kedai sebelah-sebelah. Jika tak buat kedai, mereka parking kereta di bahagian bawah ni.

Tips Tambahan

  • Buat whatsapp group travel ( senang nak update hutang, Kongsi gambar, share live location)
  • Isi kad untuk bayaran Grab tapi ada Foreign Payment Fee sebanyak 3% setiap kali buat bayaran dengan kad debit (maybe try letak Wise card?)
  • Atau Tukar bayaran Grab kepada Cash untuk elak foreign rate fee
  • Isi duit dalam TouchNGo boleh digunakan di Thailand, scan QR je
  • Untuk guna kad Wise, pastikan pernah guna kad Wise di Malaysia dengan masukkan pin dulu
  • Beli simkad dari Malaysia. (sampai terus On, lagi-lagi kalau sampai airport waktu malam)
  • Beli currency masa murah dalam Wise ( jadikan Wise tabung beli currency)
  • Be
  • Cari hotel walking distance dari tempat yang nak dituju
  • Itineary tak perlu pack sangat (1-2 main attraction) kalau bawa budak kecik
  • Guna Qibla Finder untuk tahu arah kiblat
  • Install apps ride local seperti Maxim untuk Kawasan luar bandar
  • Bawa plug 2 mata untuk Thailand, international adapter boleh juga Cuma dia berat, so mungkin longgar masa charging
  • Guna Google Translate untuk bercakap & Google Lens untuk baca tulisan asing
  • Bawa baju & tudung ironless (sekarang dah banyak)
  • Bawa portable kettle yang boleh panaskan air ( untuk buat susu anak, air panas maggie dll)
  • Mana-mana kedai halal yang jumpa, go je kalau yang dituju tak buka
  • Better Grab kereta kalau 3-4 orang, Grab moto kalau sorang, Grab 6 seater kalau banyak beg besar Study sikit system Kesihatan macam hospital, keperluan ubat dinegara berkenaan.
  • Kalau pergi Kawasan jauh/ luar bandar better book tuktuk/ taxi pergi balik
  • Still, better Grab dari tuktuk sebab charge per car bukan perhead
  • 5 Lessons from My Thailand Trip

Sekian, Adios for now!

No comments:

Post a Comment